Halaman

Isnin, 24 Februari 2014

Peranan Empat Anasir dalam Diri Manusia

Maha Besar dan Maha Suci Tuhan
  yang menjadikan di dalam diri manusia
  ada empat anasir yang berfungsi dan berperanan
Jasad, roh, nafsu dan akal
  yang merupakan satu pakej kejadian manusia
  yang luar biasa dan berperanan
Keempat-empat anasir itulah yang bertindak
  bekerjasama satu sama lain
  menggerakkan manusia di dalam kehidupan
  sama ada manusia sedar atau tidak sedar
Begitulah diri manusia itu bertindak
  di waktu hidupnya
Kalau semua anasir itu sihat
  dan sama-sama dewasa dan matang
  ia akan jadi manusia luar biasa
  tetapi jarang berlaku
Peranannya sangat mengkagumkan
Beruntunglah kalau satu bangsa itu
  ada rakyatnya begitu
  bukan sahaja individunya beruntung
Mari kita mengenal manusia lahir dan batinnya
Agar kita kenal diri kita dan kenal juga orang lain
  dan mengenal watak dan sikap manusia
  untuk pandai mendidiknya
Jasad lahir tidak perlu diperkata
   kerana mudah manusia mengenalnya
Kita akan perkatakan tiga anasir yang penting sahaja
  kerana susah difaham oleh manusia yang ramai
Tugas roh hanya merasa:
Seperti rasa marah, rasa suka, rasa takut,
  rasa cemas rasa sedih, rasa gembira, rasa senang
  rasa meradang, rasa dendam, rasa sayang
  rasa cinta, rasa simpati rasa jijik, rasa dengki
  rasa pelik, rasa lega dan sebagainya
Nafsu peranannya berkehendak atau merangsang:
Tugas nafsu hanya merangsang dan berkehendak
Kehendaknya sama ada baik atau jahat
  kehendaknya semula jadi sangat gelojoh
  rakus, tamak dan bakhil
Kemahuannya sangat luar biasa
  tidak ada batasnya, macam laut tidak bertepi
Kalau hendak diikutkan, badan boleh merana
  terseksa dan binasa
Tugas akal lain pula
Ia mempunyai peranan yang tersendiri
Akal hanya memikir, mengkaji, mencari ilmu
  menerima maklumat dan pengalaman
  kemudian menilai, menapis,
  menyimpan dan mengeluarkan
Akal, I.Qnya pula ada enam kategori
  atau enam peringkat
Eloklah diketahui oleh ibu bapa
  guru-guru dan para pemimpin
Akal genius atau abqari
Kekuatan berfikir yang luar biasa dan istimewa
Mungkin 100 juta, seorang di dalam satu zaman
Akal ini mampu membuat teori
  atau membuat penemuan-penemuan baru
  dikatakan membuat matan satu-satu ilmu
Selepas itu akal cerdik
Boleh dan mampu menghurai
  teori-teori tadi atau matan
 hingga mudah difaham oleh ramai
Mungkin 10 juta, seorang sahaja
 yang mendapat I.Q ini
Sesudah itu I.Q cerdik biasa
  boleh memahami sebahagian apa yang sudah dihurai
  dan diperjelas
  jika seseorang itu diberi pelajaran yang cukup
Golongan ini agak ramai
  ibu bapa dan guru-guru, para pemimpin
  juga patut dapat menilai
Di bawah ini hanya I.Q biasa
  tidak cerdik dan tidak pula bodoh
  itulah yang teramai di dunia ini
Di bawah ini ada lagi I.Q,
  iaitu yang bodoh dan yang dungu
  tapi golongan ini tidak ramai bilangannya
I.Q ini tidak mampu mempelajari ilmu-ilmu
  yang dalam dan tinggi-tinggi
Kalau didorong pun tidak boleh pergi
  mungkin setakat darjah rendah sahaja
  atau sekolah dasar
Roh ada empat kategori pula
  roh yang bercahaya
  roh yang bersih
  roh yang kabur
  dan roh yang hitam legam
Setiap peringkat roh ini ada hubungan
  dengan sejauh mana baiknya
  dan jahatnya nafsu
Nafsu pula ada 7 peringkat:
Ammarah nafsu yang sangat jahat
Lawwamah nafsu yang lemah mujahadah
  kerana itulah selalu sahaja mencerca dirinya
Mulhamah nafsu yang sudah mula terpimpin
  dan terdidik tapi belum kuat,
  belum mendarah mendaging
  masih di dalam kebimbangan lagi
  itulah nafsu orang yang soleh
Nafsu mutmainnah, nafsu yang sudah tenang
 ia tidak dapat lagi digugat
 oleh kesenangan mahupun kesusahan
  sudah dapat darjat wali kecil
Nafsu Radhiah, nafsu yang sudah redha
  apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah Taala
  sama ada senang mahupun susah
Nafsu Mardhiah, nafsu yang Tuhan pula redha
Nafsu Kamilah kemuncak kebersihan nafsu
  ini hanya ada pada rasul-rasul
  dan para nabi sahaja
Jasad lahir, ia hanya tentera-tentera
  atau pekerja-pekerja suruhan hati
  ia hanya taat semata-mata
  sama ada kepada kebaikan mahupun kejahatan
Jasad hanya perlu dijaga kesihatannya
Agar mampu melaksanakan arahan hati,
  raja di dalam diri
Jika ia sihat, ia akan cergas dan aktif
  serta tahan lasak melaksanakan kehendak raja diri
  iaitu kehendak hati
Oleh itu kesihatan badan
  kenalah juga diusahakan dan dijaga
Makanannya hendaklah diberi
  zat-zat makanan yang boleh menjaga kesihatannya
  hendaklah diusahakan
Keempat-empat anasir di dalam diri manusia
  bekerjasama satu sama lain
jika ia hendak bertindak
Sama ada tindakannya itu baik mahupun jahat
Mula-mula hati atau roh (raja diri) merasa
Kemudian rasa itu dihantar kepada nafsu
 maka nafsu pun berkehendak
  atau merangsang untuk mahu bertindak
Selepas itu ia hantar pula kepada akal
  bagaimana hendak melaksanakan
  maka akal pula yang memikirkan
Sesudah ada keputusan dari akal
  ia arahkan seluruh anggota bertindak
  untuk mendapatkannya
Jika Tuhan kehendaki berjaya, maka berjayalah
Jika Tuhan tidak mengkehendaki, maka gagallah
Itulah dia manusia dan bagaimana dia berperanan
Ketahuilah ilmu ini
  untuk pandai mendidik manusia
Selesailah sudah, maaf kalau salah

Oleh; PBT
Antara Zuhur & Asar
01 – 06 – 2003
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...