Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah
Bercahaya
Assalamualaikum,
mungkin ramai yang dengar atau baca kisah ini, kisah lama yang pernah berlaku
satu masa dulu dan pernah disiarkan di dalam majalah Mastika. Dikongsikan
bersama sabagai renungan bersama kita.. InsyaAllah
Kisah
bermula di suatu tempat.. Selepas berbuka puasa pada malam bulan Ramadan,
Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman
rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan
mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu
solat fardu Isyak.
Sedikit
demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin
menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang
kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai
Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.
Keadaan
tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang
pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam
kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna
biru dari kawasan perkuburan.
Cahaya
aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan
menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari
mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid
turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu
nisan disalah sebuah kubur di situ.
Terkedu
Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan
menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit
mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah
menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.
Cahaya
apakah itu?
Menggigil
dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya
itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku
nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.
“Ya, aku
nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.
“Ishhhk…!
Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.
“Entahlah
Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.
“Ishhhk…!
Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.
Akibat
terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya
sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan
Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.
Malam
berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah
perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat
cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.
Masing-masing
bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya
muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu
bakal muncul!
Ada juga
yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan
orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00
malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah
gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.
Benarlah
dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan
sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang
wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.
Malam
tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi
hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa
pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke
seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.
Sejak
itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari
Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan
cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah
Siah.
Tapi..
dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram
betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba
mendapatkan nombor ekor.
Orang
luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus
menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui
kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang
hidupnya.
Peliknya,
cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan
jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang
pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar
cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.
Sebenarnya
pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa
hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A,
Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah
seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan
al-Quran.
Untuk
mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji
Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.
Sambil
dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan
oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk
dijadikan iktibar kepada pembaca?
Jamaliah
tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan
maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau
tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu
terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.
Pada
Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam
lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Misalnya,
semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari
semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah
ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan
dengan hal-hal keduniaan.
“Misalnya,
sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian
duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak
selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak
banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!
“Tengah
malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha.
Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan
Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada
bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.
“Mak
selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini
pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah
Jamaliah.
Amalan
lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak
berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak
berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.”
“Tengah
berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia
sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.
Zikir
yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam
al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!”
beritahu Jamaliah.
Selain
berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?
“Ishhhk!
Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat.
Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak
sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk
bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.
“Arwah
mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan.
Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.
Semasa
hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah
supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di
alam kubur.
“Kata
mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan
bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut
sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah
pula.
Begitulah
cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di
Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.
Hmm…
macam mana dengan amalan kita?
Bolehkah
kita tandingi kehebatan Hajah Siah, sembahyang lima waktu tepat pada waktunya,
selalu baca al-Quran, setiap tahun khatam lima enam kali, berzikir seribu kali
sehari dan memperbanyakkan bersedekah jariah?
Al-Fatihah
buat arwah Hajah Siah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
P/s:
Mohon sebarkan supaya dapat dijadikan renungan bersama kita semua..
Sumber: http://nizarazu.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan