Assalamualaikum
dan selamat sejahtera..adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah.
Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita
berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.
Berikut
adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan
kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan.
Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan
beberapa kitab muktabar yang lain. Semoga kita semua dapat mengamalkannya,
insyaAllah.
Antara 11
Amalan Terbaik Sepanjang Ramadhan ialah:-
1.
Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas
radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bersahurlah
kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid
bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Kami
sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami
melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan
solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr
bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
“Kelebihan
puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera
Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl
bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Manusia
itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas
radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma
yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak),
maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah
kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu
‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)
3.
Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan
oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
“Ada 3
golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia
berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4.
Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam
bersabda:
“Puasa
itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu
sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah
bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak
berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. (HR Bukhari & Muslim)
Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
“Barangsiapa
yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak
memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5.
Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin
Rabi’ah berkata:
“Saya
melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu
sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan
menghitungnya.” (HR
Bukhari)
Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
“Andaikan
tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap
kali berwudhu.” (HR
Bukhari)
6.
Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu
Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:
“Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat
dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui
Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan,
dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
7.
Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith
Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca
al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan,
hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila
tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan
menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni
mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8.
Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid
bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
“Barangsiapa
yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala
seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun
pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9.
Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu
Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda:
“Barangsiapa
yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan
dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang
telah lalu.” (HR
Bukhari & Muslim)
10. Giat
beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah
radhiAllahu ‘anha berkata:
“Bahawa
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan
Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat
erat kain sarungnya.” (HR
Bukhari & Muslim)
11.
Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu
Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan.” (HR
Bukhari & Muslim)
Dari
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian
setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan
kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga
kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk
mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh
melaksanakan sunnah di atas.
Selain
dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain
sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat
jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah,
merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan
hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat
ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.